Sabtu, 4 April 2020

Karangan Pekebun Sayur


Pekebun Sayur

 

Pak Cik Wong merupakan seorang pekebun sayur. Dia tinggal di sebuah kampung yang terletak di Sabak Bernam. Hampir setiap hari Pak Cik Wong akan membanting tulang untuk menyara kehidupannya sekeluarga. Kehidupan mereka ibarat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Pak Cik Wong mempunyai seorang isteri dan lima orang anak. Pak Cik Wong juga merupakan seorang pekebun yang berjaya.

            Hari-hari Pak Cik Wong akan mengeluarkan keringatnya dengan menanam pelbagai jenis sayur-sayuran seperti bayam, sawi, kacang panjang, terung dan cili. Pak Cik Wong pergi ke kebun dengan mengayuh sebuah basikal tua. Basikal tersebutlah yang menjadi saksi kejayan Pak Cik Wong sebagai seorang pekebun yang berjaya. Rutin harian Pak Cik Wong ialah mencangkul tanah, membina batas, menyiram sayur-sayuran, membaja sayur-sayuran dan memetik sayuran yang sudah matang.

            Selain itu Pak Cik Wong juga amat gigih membanting tulang. Dia juga menggembur tanah dengan menggunakan sebatang cangkul. Aktiviti di kebun juga sering dibantu oleh isteri dan anak-anaknya terutamanya ketika cuti sekolah. Kehidupan mereka sangat bahagia. Setiap tanamannya akan dibubuh baja supaya dapat hidup subur. Begitulah kegigihan Pak Cik Wong dan keluarganya kerana pada pandangannya “ jikalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

            Pada setiap hujung minggu, Pak Cik Wong dan keluarganya akan meraih hasil yang lumayan. Mereka akan bekerjasama memetik semua hasil tanaman yang sudah matang dan akan dijual di sebuah pasar malam yang terletak di pekan Sabak Bernam. Sebahagian hasil jualan yang Pak Cik Wong perolehi akan disimpan di dalam bank dan selebihnya akan digunakan untuk perbelanjaan harian mereka.

            Begitulah kisah kehidupan Pak Cik Wong sebagai seorang pekebun yang berjaya. Dia berjaya kerana mempunyai sikap yang rajin, tidak mudah berputus asa dan gigih berbakti kepada tanah. Benarlah kata pepatah “yang bulat tidah datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa karya popular?